Pada hari ini pencemaran alam sekitar berlaku di mana-mana dan ia merupakan satu perkara yang besar bukan sahaja di negara kita, malah turut juga dihadapi oleh negara-negara membangun yang lain. Mengapakah keadaan sedemikian berlaku?
Pencemaran yang berlaku secara berleluasa di negara kita adalah disebabkan oleh pelbagai unsur. Mengikut hasil kajian yang dibuat oleh Jabatan Alam Sekitar, sebanyak 91% kejadian pencemaran terutamanya pencemaran sungai yang berlaku di negara kita adalah disebabkan oleh najis, sama ada najis haiwan mahupun najis manusia.
Antara unsur lain berlakunya pencemaran termasuklah disebabkan oleh bahan kumbahan dan baja yang digunakan untuk tujuan pertanian terutamanya yang mengandungi galian seperti nitrat dan fosfat. Pencemaran juga berlaku adalah disebabkan oleh penghasilan kelodak dan bahan-bahan lain berbentuk pepejal seperti tanah, bahan buangan daripada kawasan pembinaan serta kawasan perbandaran dan juga disebabkan oleh hakisan tebing sungai apabila berlakunya hujan lebat.
Di samping itu, bahan buangan daripada kilang-kilang, pembasmian hutan dan pembangunan industri juga menjadi punca berlakunya pencemaran terhadap alam sekitar kita. Mungkin ada antara kita yang sedia maklum bahawa kebanyakan bahan pencemar selalunya cepat tersebar dan boleh meliputi kawasan yang luas dalam jangka masa yang singkat sahaja. Pencemaran seperti ini boleh juga disifatkan sebagai pencemaran jangka pendek. Manakala, bagi pencemaran jangka panjang pula, ia memerlukan perhatian yang khusus walaupun ianya masih lagi pada tahap yang rendah di negara kita, kerana ia boleh memberi kesan yang besar kepada seluruh ekosistem melalui rantaian hidupan.
Pencemaran tanah dan air bawah tanah misalnya tidak boleh tersebar dalam jangka masa yang cepat. Namun demikian ia boleh memberi kesan yang besar kepada hidupan terutamanya jenis haiwan yang menghuni sesuatu ekosistem. Sebagai contoh, aliran kehidupan biasa dalam kitar pembiakan haiwan seperti spesies katak sudah tergangu, puncanya adalah merujuk kepada pencemaran dan keracunan yang berlaku disebabkan oleh pencemaran jangka panjang, dan sebahagian saintis khuatir sekiranya keadaan tersebut berterusan, ia akhirnya akan turut memberi kesan kepada manusia.
Sebagai individu, apakah yang patut kita lakukan untuk mengatasi malasah pencemaran alam sekitar kita pada hari ini?
Sebenarnya kuasa untuk menyelamatkan alam sekitar kita adalah terletak di tangan kita sendiri. Bila-bila masa sahaja kita boleh katakan ‘tidak' kepada pembasmian hutan dan juga persekitaran yang kotor. Sebagai contoh, kita mempunyai kuasa untuk mendesak para pemaju dan penjaja supaya mereka lebih ‘mesra alam' dalam menjalankan kerja mereka.
Kita sebagai individu juga mempunyai pilihan untuk tidak membeli rumah dalam kawasan ladang yang mana pemaju telah menebang semua pokok untuk tujuan pembukaan kawasan perumahan. Kita sepatutnya bertanya pada diri kita sendiri, mengapa perlu kita tinggal di kawasan persekitaran yang tidak selamat dan selesa? Hanya kita sendiri sahaja yang berhak untuk katakan ‘tidak' ataupun ‘ya' dalam memastikan kita hidup dalam suasana persekitaran yang bersih dan selesa.
Kegagalan untuk menjaga kebersihan alam sekitar juga boleh memberi kesan yang besar kepada sektor pelancongan di negara kita, misalnya ia akan membantutkan kegiatan-kegiatan pelancongan sama ada yang sedia ada ataupun yang bakal diterokai. Sebagai contoh, pada penghujung tahun lepas, pelabur telah menolak rancangan untuk membina hotel di Pantai Pasir Gemuruh berhampiran Teluk Kumbar, Pulau Pinang kerana kawasan tersebut telah diancam pencemaran. Kawasan tersebut yang dahulunya bersih dan cantik, kini telah dipenuhi dengan sampah sarap.
Selain itu, 50% sungai di negara kita juga telah tercemar , dan 5% daripadanya berada pada tahap yang sangat tenat. Jika diamati, kini tiada lagi kawasan air terjun di Pulau Pinang, Sungai Klang pula tercemar teruk dan kawasan perlombongan di Batu Pahat, Johor juga dipenuhi dengan sampah sarap.
Bagi memastikan persekitaran kita selamat untuk didiami, orang awam perlu mengambil berat dan memberi perhatian terhadap kebersihan di dalam dan juga di luar rumah mereka terlebih dahulu. Ini kerana menjaga kebersihan alam sekitar perlu berakar umbi dari rumah. Setiap anggota masyarakat perlu mempunyai kesedaran yang tinggi dalam menjaga kebersihan, misalnya tidak sesuka hati membuang sampah ke dalam longkang dan sistem perparitan, kerana ia akan menyebabkan sistem saliran tersumbat dan akhirnya akan membawa kepada masalah-masalah lain seperti berlakunya banjir dan sebagainya.
Misalnya kejadian banjir besar yang berlaku di Johor pada tahun lepas telah menyebabkan kerajaan terpaksa mengeluarkan kos yang besar, iaitu sebanyak RM1 bilion hanya untuk memperbaiki kemudahan-kemudahan asas yang rosak akibat banjir tersebut. Ia jelas merugikan apabila kita terpaksa memperuntukkan sejumlah wang yang besar hanya untuk membaik pulih kerosakan akibat daripada banjir tersebut. Adalah lebih baik sekiranya kita dapat menggunakan wang tersebut untuk tujuan lain yang lebih bermanfaat seperti untuk tujuan pembinaan sekolah dan juga hospital.
Bukan itu sahaja, malah kita juga memerlukan penguatkuasaan yang bersepadu dalam membanteras pembalakan haram. Ini kerana, pembalakan haram merupakan salah satu daripada kegiatan yang turut memusnah dan mencemar alam sekitar kita termasuk sungai dan juga laut. Daripada kerja pembalakan haram tersebut juga, ia akan turut membawa kepada musnahnya kebanyakkan habitat semulajadi ikan air tawar yang sedia ada.
Selain memusnahkan habitat semulajadi ikan air tawar, aktiviti pembalakan haram juga akan turut memusnahkan kebanyakan habitat hutan yang seterusnya akan membawa kepada masalah-masalah lain seperti hakisan tanah, banjir, pemanasan sejagat dan sebagainya. Kita sepatutnya sedar bahawa habitat hutan sangat penting bukan sahaja kepada kita, malah juga kepada alam sekitar kita. Seperti yang kita sedia maklum, kewujudan tumbuh-tumbuhan adalah sangat penting terhadap alam sekitar yang mana ia sangat diperlukan bagi membolehkan penggunaan karbon dioksida oleh tumbuh-tumbuhan dan pengembalian oksigen untuk tujuan pernafasan.
Kewajipan menjaga kebersihan alam sekitar adalah terletak sepenuhnya di tangan kita. Sudah tiba masanya setiap anggota masyarakat membuang sikap ‘tak apa' dalam diri masing-masing untuk melindungi dunia daripada melakukan pemusnahan terhadap alam sekitar secara berterusan. Ia merupakan tugas dan kewajipan akhlak kita di muka bumi ini untuk menjaga dan memelihara alam sekitar kita sebagaimana ia telah memberi pelbagai manfaat kepada kita berabad lamanya.
Selain itu, kita juga memerlukan proses pembaikan dalam senario pemuliharaan di negara kita. Langkah yang berkesan perlu diambil dalam memastikan mesej yang jelas mengenai unsure-unsur pemuliharaan alam sekitar yang betul dapat disampaikan kepada setiap anggota masyarakat bagi menjamin kebersihan alam sekitar kita terus terpelihara. Setiap anggota masyarakat perlu sedar bahawa usaha pemuliharaan patut menjadi teras dalam diri masing-masing, kerana kesedaran dalam diri setiap individu adalah sangat penting. Jika semua anggota masyarakat bertanggungjawab dalam memainkan peranan masing-masing dan bekerjasama untuk menyelamatkan alam sekitar, pastinya alam sekitar kita akan dapat diselamatkan dan dipelihara sepenuhnya.